Thursday 28 June 2012

SILAT TOMOI AKTIVITI RIADAH


KUANTAN 27 Jun - Silat Melayu dan tomoi merupakan antara seni mempertahankan diri yang menggunakan kepantasan anggota badan seperti tangan, siku, kaki serta lutut dalam mencari sasaran untuk menjatuhkan lawan.

Seni silat atau pencak silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri kaum Melayu dan nusantara sejak sekian lama.

Ia bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada masyarakat di kepulauan Melayu tetapi telah dipelajari oleh banyak negara seperti di benua Eropah yang mengagumi seni tersebut.

Begitu juga dengan seni mempertahankan diri tomoi atau muay Thai yang berasal dari Thailand.

GALERI MACAU MENGGAMIT PELANCONG KE MELAKA


MELAKA 27 Jun - Pembukaan Galeri Macau di Bukit Peringgit, di sini dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara, terutamanya dari Macau ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Macau menjadi negara kedua selepas Cuba yang mewujudkan galeri di kawasan galeri antarabangsa yang dibina oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, galeri berkenaan mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menarik minat pengunjung dalam dan luar negara kerana mempamerkan gambar, artifak sejarah dan pelbagai barangan antik dan kebudayaan dari negara tersebut.

"Dengan wujudnya Galeri Macau, Melaka menambah satu lagi produk pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri, terutama daripada sudut sejarah yang mampu menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan galeri itu, di sini semalam.

BELIA LUAR BANDAR DISARAN TINGKATKAN JATI DIRI



MIRI 27 Jun - Golongan belia di kawasan luar bandar disaran meningkatkan potensi diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat terkini bagi membantu membangunkan kampung masing-masing.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga negeri, Rosey Yunus berkata, langkah itu perlu kerana mereka juga perlu bersaing dengan golongan muda yang berada di kawasan bandar.

"Generasi muda di negeri ini dialu-alukan untuk merancang dan melaksanakan program berdasarkan inisiatif serta idea baru bagi membuktikan kreativiti mereka dalam memberi manfaat kepada umum.
"Kita tidak menghalang minat anak-anak muda untuk terlibat dalam aktiviti hiburan tetapi ia perlu seimbang dengan keperluan lain juga," katanya ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai di Rumah Panjang Bagai di Batu Niah dekat sini hari ini.