Thursday 28 June 2012

GALERI MACAU MENGGAMIT PELANCONG KE MELAKA


MELAKA 27 Jun - Pembukaan Galeri Macau di Bukit Peringgit, di sini dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara, terutamanya dari Macau ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Macau menjadi negara kedua selepas Cuba yang mewujudkan galeri di kawasan galeri antarabangsa yang dibina oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, galeri berkenaan mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menarik minat pengunjung dalam dan luar negara kerana mempamerkan gambar, artifak sejarah dan pelbagai barangan antik dan kebudayaan dari negara tersebut.

"Dengan wujudnya Galeri Macau, Melaka menambah satu lagi produk pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri, terutama daripada sudut sejarah yang mampu menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan galeri itu, di sini semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Zainal Abu; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Wira Latiff Tamby Chik; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo dan Setiausaha Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Macau, Cheong U.

Galeri itu dibahagikan kepada beberapa zon dengan tema yang berbeza, antaranya Macau Warisan Dunia, Laluan Maritim, Acara Macau, Asal-Usul dan Budaya serta ruang pameran 12 hasil karya seni pelukis terkenal dari negara berkenaan.

Turut disediakan di galeri tersebut ialah perpustakaan, bilik pelbagai guna, tandas dan kafeteria untuk keselesaan pengunjung.

Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kerajaan negeri dan Macau pada 2009, rumah asal dengan seni bina Siam yang dibina pihak oleh British semasa zaman prapeperangan yang kini menempatkan galeri itu harus dikekalkan bentuknya kerana bangunan berkenaan adalah warisan negeri Melaka. sumber Utusan

No comments:

Post a Comment