Thursday, 28 June 2012

SILAT TOMOI AKTIVITI RIADAH


KUANTAN 27 Jun - Silat Melayu dan tomoi merupakan antara seni mempertahankan diri yang menggunakan kepantasan anggota badan seperti tangan, siku, kaki serta lutut dalam mencari sasaran untuk menjatuhkan lawan.

Seni silat atau pencak silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri kaum Melayu dan nusantara sejak sekian lama.

Ia bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada masyarakat di kepulauan Melayu tetapi telah dipelajari oleh banyak negara seperti di benua Eropah yang mengagumi seni tersebut.

Begitu juga dengan seni mempertahankan diri tomoi atau muay Thai yang berasal dari Thailand.
Setelah hampir suku abad berkubur, sukan itu kembali menerima suntikan semangat lewat 90-an dan mula mendapat tempat di hati masyarakat apabila gelanggang dan pusat latihan tomoi tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di seluruh negara.

Menyedari hakikat pentingnya dua jenis seni mempertahankan diri itu, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Cawangan Felda Lepar Hilir 3 di sini mengadakan majlis pembukaan gelanggang silat dan tomoi di tanah rancangan tersebut baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Lepar Hilir 3, Md. Saad Cha berkata, kedua-dua seni mempertahankan diri itu merupakan aktiviti riadah terbaik untuk para belia.

"Ia sebagai titik permulaaan kepada belia di sini untuk terus aktif mengikut minat dan kesukaan mereka khasnya terhadap ilmu mempertahankan diri.

"Dalam pada itu, ia juga memberi kesedaran kepada para belia mengenai betapa pentingnya mewujudkan generasi belia yang sihat fizikal serta mental," katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis pembukaan gelanggang silat dan tomoi itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd. Shohaimi Jusoh dan Ketua UMNO Cawangan Felda Lepar Hilir 3B, Mohd. Azmi Awang.

Pada majlis itu, persembahan silat dan tomoi yang melibatkan para belia serta golongan veteran dari tanah rancangan berkenaan turut dipertontonkan. sumber UTUSAN

No comments:

Post a Comment